Teori mentalis berpendapat bahawa pemerolehan bahasa sebagai “proses pemikiran yang melibatkan aktiviti mental”. Teori ini yang juga dikenal sebagai teori kognitif menjelaskan bahawa bahasa sebagai pengetahuan yang dihasilkan melalui proses dalam otak. Oleh itu, menurut teori ini, bahasa ialah aktiviti mental yang merupakan kebolehan semula jadi manusia. Noami Chomsky, salah seorang pelopor teori ini berpendapat bahawa manusia dilahirkan bersama Peranti Pemerolehan Bahasa (Language Acquisition Device) atau LAD. Alat ini menyebabkan manusia mempunyai kebolehan semula jadi untuk menguasai bahasa.
Mangantar (1987), juga berpendapat bahawa manusia memang dilahirkan bersama sesuatu yang membolehkannya berbahasa dengan mudah dan cepat. Beliau menyebut hal ini sebagai hipotesis nurani, iaitu sesuatu yang dibawa lahir atau yang berada di dalam manusia. Sebenarnya, hipotesis ini pernah dikemukakan oleh Chomsky.
Golongan mentalis berpendapat bahawa seseorang kanak-kanak menggunakan keupayaan yang sedia ada pada mereka untuk merumus dan membentuk ayat mengikut sistem bahasa yang mereka peroleh.
Golongan ini juga berpendapat bahawa manusia mempunyai kompetens dan prestasi bahasa. Kompetens di sini dapat diertikan sebagai rumus-rumus yang ada dalam mental manusia. Manakala prestasi ialah aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan bahasa manusia. Oleh hal demikian, teori ini mengutamakan proses berfikir berbanding dengan perlakuan manusia.
No comments:
Post a Comment