Tuesday, November 16, 2010

Teori Intereksionalis

Teori interaksionalis berkembang pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Terdapat beberapa ahli bahasa mempelopori teori ini, antaranya ialah Bloom, Bowennan, Cromer dan Halliday.
Menurut Noor Aina Dani (2007), golongan interaksionalis kelihatan telah berkompromi dengan mengambil jalan tengah antara teori behavourisme dan mentalis. Mereka berpendapat bahawa persekitaran luaran dan faktor bawaan semula jadi memainkan peranan yang sama penting dalam pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak. Kanak-kanak selain menerima latihan bahasa yang pasif daripada ibu bapa mereka, juga dapat memproses bahasa secara aktif kerana memiliki struktur dalaman dalam pemerolehan bahasa. Faktor-faktor seperti persekitaran sosial, pematangan, biologi dan kognitif memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa kanak-kanak. Faktor-faktor ini saling berinteraksi lalu melakukan penyesuaian antara satu sama lain. Terdapat dua pendekatan utama bagi golongan interaksionalis seperti berikut:
·    Pendekatan kognitif; dan
·    Pendekatan sosial.
Pemahaman kanak-kanak tentang bahasa berakar umbi daripada perkembangan kognitif; dan perkembangan bahasa juga terlahir sebagai akibat persekitaran sosial yang disediakan oleh ibu bapa mereka. Interaksi sosial antara kanak-kanak dan ibu bapa amat penting kerana memberikan pengalaman bahasa bagi kanak-kanak.
Halliday (1975), salah seorang tokoh interaksionalis, beranggapan bahawa perkembangan bahasa kanak-kanak melibatkan proses kognitif dan proses interaksi bahasa. Beliau berpendapat bahawa kanak-kanak memperoleh bahasa kerana mereka mempunyai “keperluan untuk berinteraksi dengan ahli masyarakat dalam persekitaran mereka”. Halliday juga berpendapat bahawa proses kognitif penting dalam perkembangan bahasa, khususnya dalam usaha kanak-kanak mentafsirkan makna yang terdapat dalam situasi sosial mereka dan kemudian menggambarkan makna tersebut dalam bentuk bahasa.

No comments:

Post a Comment