Teori Behaviouris adalah berasaskan pemerolehan bahasa pertama oleh kanak-kanak. Teori ini juga dikenali sebagai teori mekanis. Biasanya kanak-kanak belajar bahasa secara tidak formal melalui proses peniruan daripada ahli keluarganya, khususnya daripada ibu bapanya. Oleh hal demikian, ibu bapa menjadi model bahasa bagi anak mereka. Kanak-kanak menguasai bunyi-bunyi dan menyebut perkataan yang telah didengar oleh mereka secara berulang kali sehingga mereka dapat melafazkannya dengan betul. Behaviorisme berpandangan bahawa bahasa merupakan satu tabiat yang diperoleh.
Kelihatan teori ini menekankan peri laku, dan individu banyak belajar melalui pengalaman daripada otaknya. Teori ini tidak mementingkan fungsi mental dan perkara yang dikaji dalam teori ini ialah data, iaitu kalimat-kalimat yang dapat diamati dan diukur. Teori ini berpandangan bahawa ”bahasa terjadi hasil daripada operasi rangsangan dan gerak balas yang bergantung pada ciri-ciri naluri manusia”. Justeru bahasa ialah proses peri laku yang berdasarkan operasi rangsangan dan tindak balas. Golongan behaviouris berpendapat bahawa pemerolehan adalah sesuatu perlakuan yang terjadi melalui ulangan perlakuan itu.
Perkara-perkara seperti latihan dan latih tubi amat penting dijalankan dengan kerap untuk membolehkan pemerolehan bahasa berlaku sehingga menjadi amalan kebiasaan. Dengan ini, kemahiran bahasa dapat diperoleh. Oleh hal demikian, murid-murid hendaklah diberi peluang untuk berlatih berulang kali bagi membentuk tabiat dalam diri mereka. Hal ini bermakna bahawa bahasa dikuasai melalui proses pengulangan kerana teori ini beranggapan bahawa penguasaan bahasa merupakan proses mekanis yang tiada kena-mengena dengan fikiran atau daya mental.
No comments:
Post a Comment